Sunday, 16 October 2016

1.8 Sambutan Aidilfitri Tidak Dirasai

KUALA LUMPUR 13 Jun - Biar pun umat Islam kini sibuk melakukan persiapan Aidilfitri, namun bagi pengurusan pusat beli-belah utama di sekitar ibu negara, mereka didapati tidak pun ‘ghairah’ menghiaskan premis bagi menghidupkan suasana hari raya.
Malah tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka bukan sahaja bersikap ‘acuh tak acuh’, malah ada pusat beli-belah yang langsung tidak mempunyai sebarang hiasan dalaman yang menggambarkan umat Islam sedang berada dalam bulan Ramadan atau bakal me­nyambut hari raya tidak lama lagi.
Rata-rata orang ramai dalam tinjauan di pusat beli-belah utama di Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail yang ditemui melahirkan rasa terkilan terhadap tindakan pengurusan pusat beli-belah yang seolah-olah tidak peka dengan sensitiviti masyarakat selain memberi mesej salah kepada pelancong asing.
Peniaga, Siti Saimah Abdul Karim, 55 , memberitahu, perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana kebanyakan pengunjung yang datang ke premis berkenaan adalah beragama Islam.
“Kita tengok apabila perayaan Krismas atau Tahun Baharu Cina, pusat beli-belah terkenal di Bukit Bintang ini sebagai contoh meriah dengan tanglung, pokok Krismas tetapi Hari Raya Aidilfitri tiada hiasan langsung, hambar, saya terkilan,” katanya.
Menyuarakan pendapat yang sama, Aimi Mahfuzan Tambrin, 23, berkata, sebagai sebuah negara majmuk, pihak pengurusan premis perniagaan perlu bersikap adil dengan menonjolkan perayaan setiap kaum di negara ini.
“Perbezaan nampak ketara antara Aidilfitri dengan perayaan agama atau kaum lain sebelum ini, pihak premis seperti berat sebelah. Saya kesal dengan sikap pengusaha yang seolah-olah mewujudkan jurang perbezaan,” katanya.
Sementara itu, bagi K. Thilangan, 46 , beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan pengurusan pusat beli-belah terbabit dan sepatutnya sambutan yang dijalankan di setiap pasar raya perlu diseimbangkan antara semua perayaan.
“Kita hidup dalam kelompok masyarakat pelbagai agama. Sepatutnya pusat beli-belah yang menjadi tumpuan ramai setiap kali perayaan tidak boleh dilihat hanya melebihkan satu kaum sahaja,” ujarnya.

Bagi Kamarul Ibrahim, 32, beliau tidak menolak kemungkinan pusat beli-belah bertindak demikian kerana faktor ekonomi yang mana mereka mungkin melihat orang Melayu tidak mempunyai kuasa beli yang tinggi.