Hari
Raya Aidiladha pula disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah
setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti
dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah,
sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau
11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat
Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan
perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah
Allah SWT.
Selain
itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban.
Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu
selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam
matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh
pada bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10
Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan
isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa
di padang Arafah, di luar bandar Mekah. Pada hari raya, orang Islam disunatkan
mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan
wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan
sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat
pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.
Pada
kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat
Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah
bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan
sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka
yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan
dahulu sebelum pergi ke masjid.
Manakala
bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang
mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas
bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri
yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum
dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan
fakir miskin. Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat
penziarahan ke Makkah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan.