Kedatangan Syawal sememangnya dinantikan dengan
penuh sabar dan teruja oleh seluruh rakyat Malaysia. Hal ini kerana
kebiasaannya masyarakat kita akan menyambut dan meraikan Aidilfitri dengan
penuh meriah sebagai antara perayaan utama negara ini tanpa mengira agama dan
bangsa.
Inilah keistimewaan rakyat negara ini yang walaupun
berbeza agama dan bangsa tetapi hidup dalam sebuah masyarakat majmuk yang
bersatu dan boleh merayakan perayaan kaum lain secara bersama. Hakikatnya,
selama ini setiap perayaan utama setiap kaum di negara ini diraikan bersama
seperti perayaan kebangsaan oleh seluruh negara. Ini ditambah pula dengan
pelbagai keistimewaan yang disediakan seperti pemberian cuti umum, pemberian
bonus kepada kakitangan kerajaan serta budaya rumah terbuka di seluruh negara.
Senario ini mewarnai kalendar kehidupan setiap warga
negara ini sejak kita merdeka lagi. Ia dibentuk, dipupuk dan dipateri kemas
oleh generasi terdahulu yang mengetepikan dan mengorbankan segala kepentingan
peribadi kaum masing-masing demi mencapai kemerdekaan serta dapat hidup aman
dan damai sebagai satu keluarga yang besar. Ternyata semangat kebangsaan
mereka mengatasi semangat individualistik dan sekali gus bersepakat membentuk
sebuah negara majmuk yang berdiri gah di persada antarabangsa seperti yang ada
pada hari ini.
Dalam hal ini kita tidak boleh menafikan peranan
pelbagai perayaan dan sambutan upacara rasmi negara seperti Hari Raya
Aidilfitri ini yang telah dan juga sedang menjadi platform terbaik dalam
menyuburkan semangat perpaduan dan kebangsaan dalam kalangan generasi dahulu
hingga ke hari ini. Saban tahun perayaan seumpama ini terus menonjolkan dan
mengeratkan silaturahim sesama kita. Ini boleh dilihat melalui budaya kunjung
mengunjung yang biasanya dilakukan semasa rumah terbuka.
Kita boleh lihat dengan jelas orang India dan Cina
mengunjungi rumah orang Melayu semasa Aidilfitri dan juga sebaliknya semasa
sambutan Tahun Baharu Cina, Deepavali ataupun perayaan utama lain. Senario
seumpama ini membuktikan betapa rakyat kita meraikan segala nikmat kehidupan
bersosial masyarakat majmuk yang terdiri daripada penduduk berlainan budaya dan
gaya hidup.
Justeru sebagai rakyat yang bertanggungjawab setiap
seorang daripada kita wajib untuk memainkan peranan dalam mempertahankan apa
yang dimiliki sekarang hingga ke akhir hayat kita. Ini kerana kita perlu
sentiasa insaf dan sedar bahawa nikmat kemerdekaan, perpaduan, dan keamanan
yang ada pada hari ini boleh lenyap mahupun diragut sekelip mata andai leka dan
lalai.
Buktinya mutakhir ini kita lihat beberapa peristiwa
yang berlaku dalam negara ini yang mula menyentuh sensitiviti sesuatu kaum.
Misalnya, isu pencemaran masjid, pertikaian laungan azan dan bacaan al-Quran
serta pertikaian terhadap hak keistimewaan sesuatu kaum terutamanya hak orang
Melayu yang adalah penduduk majoriti negara ini. Ingatan kita juga masih segar
dengan apa yang berlaku di Plaza Low Yat tempoh hari di mana urusan jual beli
telefon boleh berakhir dengan pergaduhan dan apa yang paling dikesali adalah
ini telah dijadikan sebagai isu perkauman oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab. Akibatnya keadaan menjadi huru-hara dan mencetuskan
perbalahan serta pergaduhan antara segelintir orang Melayu dan juga orang Cina.
Insiden ini dengan jelas membuktikan betapa tahap
perpaduan dalam kalangan masyarakat semakin hari semakin menipis. Sedikit
provokasi sudah cukup untuk mencetuskan api perkauman. Apakah ini yang hendak
kita banggakan dalam meniti pelbagai cabaran sepanjang 59 tahun lalu? Keadaan
ini dengan jelas menunjukkan bahawa jambatan perpaduan yang dibina selama ini
tidak mustahil untuk mengalami keretakan malah keruntuhan sama sekali andai
kita terlalu selesa dengan nikmat yang sedia ada tanpa berusaha menghayatinya
dan mempertahankannya.
Kita perlu terima hakikat bahawa insiden-insiden
yang telah mengambil tempat dewasa ini sedikit sebanyak mula menerbitkan rasa
prasangka dan prejudis sesama rakyat kita. Masing-masing dilihat lebih
berhati-hati dan mula was-was dalam perhubungan dengan orang lain. Walaupun
situasi ini mungkin tidak terlalu kritikal namun jika terus dibiarkan begitu
maka kita percaya akan menjadi barah dan duri dalam daging untuk menghancurkan
apa yang telah kita bina sekian lama.
Selama ini kita berbangga dengan dunia luar bahawa
kita boleh dijadikan sebagai negara contoh masyarakat majmuk. Itulah
keistimewaan kita selama ini dan negara luar juga sering memuji negara kita
dalam aspek tersebut. Namun kita perlu sedar bahawa tiada jaminan status ini
akan kekal selamanya. Apakah kita mahu menghancurkannya?
Justeru tepuk dada dan tanyalah minda, hati dan
perasaan masing-masing. Sudah semestinya setiap seorang daripada kita tidak
mahu anak cucu kita kelak memaki hamun kita kerana mewariskan sebuah negara
yang tidak stabil dan harmoni kepada mereka. Dalam hal ini, apakah kita lupa bahawa
keamanan dan perpaduan yang kita nikmati ini adalah apa yang telah dipinjamkan
kepada kita oleh generasi yang akan datang? Jangan sesekali kita mengkhianati
amanah ini.
Justeru dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun
ini marilah kita mengetepikan segala persengketaan, perselisihan faham dan
ideologi politik seterusnya bermuhasabah diri dan insaf dengan pelbagai
cabaran yang mula menggoncang perpaduan kaum di negara kita lantas berusaha
untuk menepisnya dari akar umbi lagi sebelum ia merebak menjadi virus yang
sukar diubati kelak. Teruskan budaya kunjung mengunjung dan gunakan peluang
untuk bermaaf-maafan agar dapat melupakan segala salah dan silap dengan penuh
ikhlas supaya tali silaturahim itu dapat terus diperkukuhkan.