Sunday, 16 October 2016

1.7 Perayaan di Sabah dan Sarawak

Perayaan Hari Gawai secara umumnya merujuk kepada beberapa perayaan masyarakat Dayak Sarawak dan yuKalimantan Barat tetapi pada kebiasaannya merujuk kepada pesta selepas menuai yang disambut oleh masyarakat Dayak yang merangkumi pelbagai etnik. Di Sarawak ada 25 kaum etnik Dayak terutamanya kaum Iban (atau dikenali Dayak Laut dahulunya) yang merupakan majoriti, Bidayuh (Dayak Darat), Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah dan Murut dan kaum-kaum etnik yang lain-lain. Masyarakat Dayak di Kalimantan Barat mengelar perayaan ini sebagai Gawai Padi untuk meraikan tamatnya musim menuai padi dan menandakan permulaan musim penanaman padi yang baru.
Selepas menuai, beras sudah tentunya banyak untuk menjamu selera orang ramai dan Petara (Tuhan) orang Dayak yang selalunya disertakan dengan korban babi dan ayam terutamanya dan ditambahkan lagi dengan daging haiwan buas, ikan dan lauk pauk daripada hutan belantara. Oleh itu, musim perayaan selepas musim menuai padi ini dikenali sebagai Gawai Dayak.
Pesta Gawai disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pada jendela waktu ini, pelbagai jenis gawai boleh diadakan mengikut kehendak dan tujuan masing-masing. Bagi mereka yang tiada gawai tradisi tertentu atau telah memeluk agama baru, mereka meraikan Gawai Dayak yang bersifat umum dan boleh diraikan oleh mana-mana orang berketurunan Dayak tanpa mengira agama, sama ada untuk menandakan penghasilan musim menuai dan menyambut kedatangan tahun baru untuk musim penanaman padi yang baru. Sebelum begawai, seseorang Dayak boleh mengadakan upacara-upacara penyembahan yang kecil seperti bedara mata di dalam biliknya sendiri atau bedara mansau di ruai biliknya manakala begawai di tanju dipanggil Sandau Ari. Enchaboh Arong diraikan untuk menyambut perolehan kepala manusia pada zaman dahulu atau pendapatan barang lain pada zaman sekarang.
Pesta Gawai Dayak di Sarawak yang diraikan untuk kegembiraan disambut meriah sekali di bandar-bandar dan di desa-desa dengan didahului oleh upacara miring dan genselan yang akan diikuti oleh hidangan lazat makanan tradisi seperti pansoh, lemang nasi pulut, minuman tradisi terutamanya tuak iaitu 'arak beras pulut', persembahan tarian tradisi "ngajat", bermain main suara tradisi dan bersuka-ria. Pesta Gawai Dayak di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964. Mula-mulanya, hari cuti umum ini dikenali sebagai Hari Sarawak semasa zaman penjajahan Brooke tetapi selepas penubuhan Persekutuan Malaysia, hari cuti umum ini pada setiap 31 May dan 1 Jun dinamakan Gawai Dayak.
Perayaan  bagi suku kaum terbesar di Sabah pula ialah Pesta kaamatan yang dirayakan olah kaum Kadazan  Dusun. Pesta ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambazon” iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum Kadazan Dusun sejak zaman berzaman yang biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan' dalam bahasa Kadazan dusun.
Kadazan percaya kepada makhluk halus dan dipercayai terdapat lima makhluk halus: Kinoingan[Kadazan](dialek suku lain;Kinorohingan[Dusun]/Kinoringan[Suku Dusun yang lain,salah satunya ialah Dusun Tatana)(Ketua makluk halus & Pencipta), Rusod(semangat semua benda hidup kecuali manusia), Koduduwo(Koduduvo[Kadazan]) (semangat manusia), Tombiruo (semangat orang yang telah meninggal), dan Rogon (semangat jahat). Walaubagaimanapun, kebanyakkan rakyat kadazan dusun yang sudah beragama Kristian, mereka hanya meraihkan pesta tersebut tanpa sebarang kepercayaan tradisional.
Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria. Selain menari Sumazau dengan alat muzik tradisi, tapai (arak beras) dihidangkan sebagai minuman istimewa. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'. Sepanjang perayaan ini diadakan, pertandingan Unduk Ngadau akan dijalankan di seluruh daerah di Sabah, dan para pemenang setiap daerah akan seterusnya bertanding di bahagian peringkat negeri. Acara ini merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh seluruh penduduk Sabah setiap tahun pada bulan Mei.

Antara makanan tradisi yang terkenal di kalangan kaum Kadazan-Dusun ialah Hinava, Noonsom, Pinaasakan, Bosou, Tuhau, Sup Kinoring Bakas (tidak halal) dan Sup Manuk Lihing. Makanan-makanan ini dapat disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi kaum Kadazan-Dusun. Seterusnya, tarian Sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang terkenal di seluruh Malaysia. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Juga melaluinya ibu-bapa/keluarga dapat menonton dan memilih bakal menantu yang berpotensi.