Sunday 16 October 2016

1.6 Perayaan Kaum India

Hari Deepavali juga dikenali sebagai Diwali dan Divali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) Tamil Nadu dan Malaysia, dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.
Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali Di Malaysia, hari Deepavali disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum persekutuan di seluruh Malaysia.
Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil di mana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.
Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya dibuat daripada bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" atau juga dikenali sebagai "Rangoli" ini bukan sekadar hiasan sahaja, tetapi memiliki maksud sosial, kerohanian, dan simbolik padanya. Ia merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi, Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka. Melakar "Kolam" merupakan cara bagi wanita Tamil bagi berdoa pada Lakshmi, dewi kekayaan, kecantikan dan tuah dan merupakan upacara keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya.
Selain itu, mereka juga menyambut hari Thaipusam.Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Bukan semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran. Biasanya, murid yang akan menduduki peperiksaan, wanita yang berhajat untuk mengandung tetapi belum mendapat kurniaan Ilahi, lelaki yang meminta nazar semoga ibu bapanya selamat daripada pembedahan waima sakit merupakan antara faktor utama penganut Hindu memohon nazar.
Pada hari itu mereka akan membawa susu yang diisi dalam belanga kerana susu itu dianggap paling suci . Susu ini diisikan dalam belanga tembikar atau kini dalam belanga aluminium. Belanga berisi susu ini akan dihias dengan pelbagai corak, warna, daun dan benang. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Walau bagaimanapun, bukan semua penganut Hindu membawa belanga berisi susu ini. Hal ini demikian kerana pembawaan belanga bukanlah kewajipan dalam meraikan kebesaran Tuhan Murugan. Ramai juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala yang botak itu dengan warna kuning daripada kunyit. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu. Amalan ini merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar atau melupakan sesuatu peristiwa yang sedih dan menanti hari-hari yang baik yang bakal menjelma.
Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, “kavadi” (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas) akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan. Pembawa kavadi ini lazimnya terdiri daripada lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung pada kemampuan seseorang. Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain. Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.

Perayaan Thaipusam lebih meriah di Malaysia jika dibandingkan dengan di India, Hal ini berlaku demikian kerana di India, Pesta Ponggal lebih meriah berbanding dengan Thaipusam. Mengikut kajian, Thaipusam dapat menyatupadukan semua penganut Hindu dari pelbagai ladang dan bandar yang berkumpul di beberapa buah kuil Hindu yang besar sahaja. Oleh itu, semua rakyat yang diam di Malaysia haruslah bersyukur dengan Malaysia yang hanya merupakan negara kecil tetapi berbilang kaum dan agama. Kita dapat hidup aman dan damai atas payung kedaulatan yang dikurniakan oleh-nya.