Sunday, 16 October 2016


1.0 Senarai Kandungan

BIL
TAJUK
MUKA SURAT
1.
Objektif Penulisan dan Pengenalan Isi
3
2.
Huraian Isi
4-17
3.
kesimpulan
18
4.
Lampiran
19-20
5.
Rujukan
22


1.1 Objektif

  •          Untuk mengenalpasti amalan perayaan yang di amalkan oleh setiap kaum di Malaysia
  •          Untuk mengenalpasti ciri-ciri perpaduan yang di pupuk semasa menyambut perayaan setiap kaum
  •         Dapat mengenali adat resam setiap kaum di Malaysia dengan lebih mendalam

1.2 Pengenalan

Malaysia ialah sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama. Rakyat Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi  yang lain dapat hidup dalam keadaan aman dan damai malah saling  hormat menghormati diantara satu  sama lain. Malahan itu, Pelbagai kaum yang membezakan budayanya menggabungkan budaya Malaysia yang unik, seperti perayaan di Malaysia. Budaya masyarakat Malaysia dapat melihat melalui perayaan disambut oleh kaum tertentu.
Pada setiap tahun banyak perayaan yang rakyat Malaysia sambut. Hal ini menunjukkan Malaysia hidup berbilang bangsa tidak kira agama dan juga warna kulit. Disamping  itu, perayaan dan pelbagai kaum dalam negara kita turut menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Sememangnya masyarakat Malaysia merupakan negara yang kaya dengan pelbagai kaum, perayaan dan sejarahnya yang tersendiri. Ia juga dapat memupuk perasaan bangga  diri  terhadap tanah air kita. Melalui penulisan ini juga dapat menyedarkan rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya perayaan di negara kita kerana ia dapat  memupuk semangat kekitaan di kalangan rakyat Malaysia.  Selain itu, kesan yang didapati semasa membuat penulisan mengenai tajuk ini ialah dapat menikmati juadah tradisional masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita. Seterusnya, rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama kaum tetapi juga dapat memeriahkan suasana rumah terbuka. Rakyat Malaysia juga boleh mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain.

1.3 Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Arab, Inggeris, Melayu, India-Muslim, Cina-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.
Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.
Bermula seawal bulan Ramadan lagi,umat Islam akan membuat persiapan tertentu untuk menyambut kedatangan hari raya ini.Antara tradisi umat islam di Negara ini menjelang kedatangan 1 Syawal ini,adalah menyediakan pakaian baru untuk keluarga,menghias rumah dan membuat palbagai jenis kuih tradisi untuk di hidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah.
Malahan itu, pada Hari Raya AidilFitri juga,umat islam akan menyediakan pelbagai jenis juadah tradisional seperti lemang,ketupat,nasi impit,dodol dan lain-lain.untuk tetamu yang dating berkunjung dan beraya di rumah. Bagi kanak-kanak pula ,mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang baru serta mendapat duit raya. Amalan memberi duit raya adalah satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara kita.  
Selain itu,pada hari raya juga umat Islam akan berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara-mara.Selain itu,kemeriahan rumah terbuka dapat menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang

terdiri dari pelbagai kaum untuk bersama-sama menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam suasana harmoni.

1.4 Hari Raya Aidiladha

Hari Raya Aidiladha pula disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik. Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah. Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, iaitu bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah. Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.
Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.

Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin. Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Makkah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. 

1.5 Perayaan Kaum Cina

Tahun Baru Cina atau dikenali juga sebagai ‘Chinese New Year’ merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.
Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.
Justeru itu, Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.
Chap Goh Mei juga dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secucuk. Terdapat juga amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, Opera Cina, dan mengimbang bendera besar yang dipanggil”Chingay”
Pakaian mereka pada perayaan tersebut ialah Samfu dan Cheongsam.Samfu membawa maksud 'baju dan seluar'.Samfu merupakan pakaian kaum Cina. Samfu diperbuat daripada kain nipis yang tidak bercorak atau berbunga halus. Samfu dipakai oleh lelaki berketurunan Cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti seluar baju Melayu. Pakaian ini biasanya diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera.


Manakala Cheongsam pula ialah pakaian yang dipakai oleh wanita berketurunan Cina. Biasanya dipakai pada upacara-upacara tertentu seperti majlis perkahwinan dan semasa Tahun Baru Cina.Cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut. . Pemakaian yang melebihkan warna merah sering dipakai sepanjang Tahun Baru Cina kerana dipercayai warna merah akan menakutkan roh jahat dan nasib malang. Tambahan, orang yang memakai baju baru dari kepala hingga kaki pula melambangkan permulaan baru pada tahun baru

1.6 Perayaan Kaum India

Hari Deepavali juga dikenali sebagai Diwali dan Divali merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara bulan Oktober dan November) Tamil Nadu dan Malaysia, dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.
Pelita yang dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai perayaan Deepavali Di Malaysia, hari Deepavali disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum persekutuan di seluruh Malaysia.
Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil di mana patung dewa Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.
Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya dibuat daripada bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" atau juga dikenali sebagai "Rangoli" ini bukan sekadar hiasan sahaja, tetapi memiliki maksud sosial, kerohanian, dan simbolik padanya. Ia merupakan lambang penyembahan dewa Lakshmi, Dewi Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka. Melakar "Kolam" merupakan cara bagi wanita Tamil bagi berdoa pada Lakshmi, dewi kekayaan, kecantikan dan tuah dan merupakan upacara keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya.
Selain itu, mereka juga menyambut hari Thaipusam.Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Bukan semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran. Biasanya, murid yang akan menduduki peperiksaan, wanita yang berhajat untuk mengandung tetapi belum mendapat kurniaan Ilahi, lelaki yang meminta nazar semoga ibu bapanya selamat daripada pembedahan waima sakit merupakan antara faktor utama penganut Hindu memohon nazar.
Pada hari itu mereka akan membawa susu yang diisi dalam belanga kerana susu itu dianggap paling suci . Susu ini diisikan dalam belanga tembikar atau kini dalam belanga aluminium. Belanga berisi susu ini akan dihias dengan pelbagai corak, warna, daun dan benang. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Walau bagaimanapun, bukan semua penganut Hindu membawa belanga berisi susu ini. Hal ini demikian kerana pembawaan belanga bukanlah kewajipan dalam meraikan kebesaran Tuhan Murugan. Ramai juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala yang botak itu dengan warna kuning daripada kunyit. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu. Amalan ini merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar atau melupakan sesuatu peristiwa yang sedih dan menanti hari-hari yang baik yang bakal menjelma.
Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, “kavadi” (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas) akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan. Pembawa kavadi ini lazimnya terdiri daripada lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung pada kemampuan seseorang. Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain. Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.

Perayaan Thaipusam lebih meriah di Malaysia jika dibandingkan dengan di India, Hal ini berlaku demikian kerana di India, Pesta Ponggal lebih meriah berbanding dengan Thaipusam. Mengikut kajian, Thaipusam dapat menyatupadukan semua penganut Hindu dari pelbagai ladang dan bandar yang berkumpul di beberapa buah kuil Hindu yang besar sahaja. Oleh itu, semua rakyat yang diam di Malaysia haruslah bersyukur dengan Malaysia yang hanya merupakan negara kecil tetapi berbilang kaum dan agama. Kita dapat hidup aman dan damai atas payung kedaulatan yang dikurniakan oleh-nya.

1.7 Perayaan di Sabah dan Sarawak

Perayaan Hari Gawai secara umumnya merujuk kepada beberapa perayaan masyarakat Dayak Sarawak dan yuKalimantan Barat tetapi pada kebiasaannya merujuk kepada pesta selepas menuai yang disambut oleh masyarakat Dayak yang merangkumi pelbagai etnik. Di Sarawak ada 25 kaum etnik Dayak terutamanya kaum Iban (atau dikenali Dayak Laut dahulunya) yang merupakan majoriti, Bidayuh (Dayak Darat), Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah dan Murut dan kaum-kaum etnik yang lain-lain. Masyarakat Dayak di Kalimantan Barat mengelar perayaan ini sebagai Gawai Padi untuk meraikan tamatnya musim menuai padi dan menandakan permulaan musim penanaman padi yang baru.
Selepas menuai, beras sudah tentunya banyak untuk menjamu selera orang ramai dan Petara (Tuhan) orang Dayak yang selalunya disertakan dengan korban babi dan ayam terutamanya dan ditambahkan lagi dengan daging haiwan buas, ikan dan lauk pauk daripada hutan belantara. Oleh itu, musim perayaan selepas musim menuai padi ini dikenali sebagai Gawai Dayak.
Pesta Gawai disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun. Pada jendela waktu ini, pelbagai jenis gawai boleh diadakan mengikut kehendak dan tujuan masing-masing. Bagi mereka yang tiada gawai tradisi tertentu atau telah memeluk agama baru, mereka meraikan Gawai Dayak yang bersifat umum dan boleh diraikan oleh mana-mana orang berketurunan Dayak tanpa mengira agama, sama ada untuk menandakan penghasilan musim menuai dan menyambut kedatangan tahun baru untuk musim penanaman padi yang baru. Sebelum begawai, seseorang Dayak boleh mengadakan upacara-upacara penyembahan yang kecil seperti bedara mata di dalam biliknya sendiri atau bedara mansau di ruai biliknya manakala begawai di tanju dipanggil Sandau Ari. Enchaboh Arong diraikan untuk menyambut perolehan kepala manusia pada zaman dahulu atau pendapatan barang lain pada zaman sekarang.
Pesta Gawai Dayak di Sarawak yang diraikan untuk kegembiraan disambut meriah sekali di bandar-bandar dan di desa-desa dengan didahului oleh upacara miring dan genselan yang akan diikuti oleh hidangan lazat makanan tradisi seperti pansoh, lemang nasi pulut, minuman tradisi terutamanya tuak iaitu 'arak beras pulut', persembahan tarian tradisi "ngajat", bermain main suara tradisi dan bersuka-ria. Pesta Gawai Dayak di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964. Mula-mulanya, hari cuti umum ini dikenali sebagai Hari Sarawak semasa zaman penjajahan Brooke tetapi selepas penubuhan Persekutuan Malaysia, hari cuti umum ini pada setiap 31 May dan 1 Jun dinamakan Gawai Dayak.
Perayaan  bagi suku kaum terbesar di Sabah pula ialah Pesta kaamatan yang dirayakan olah kaum Kadazan  Dusun. Pesta ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati “Bambazon” iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum Kadazan Dusun sejak zaman berzaman yang biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan' dalam bahasa Kadazan dusun.
Kadazan percaya kepada makhluk halus dan dipercayai terdapat lima makhluk halus: Kinoingan[Kadazan](dialek suku lain;Kinorohingan[Dusun]/Kinoringan[Suku Dusun yang lain,salah satunya ialah Dusun Tatana)(Ketua makluk halus & Pencipta), Rusod(semangat semua benda hidup kecuali manusia), Koduduwo(Koduduvo[Kadazan]) (semangat manusia), Tombiruo (semangat orang yang telah meninggal), dan Rogon (semangat jahat). Walaubagaimanapun, kebanyakkan rakyat kadazan dusun yang sudah beragama Kristian, mereka hanya meraihkan pesta tersebut tanpa sebarang kepercayaan tradisional.
Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria. Selain menari Sumazau dengan alat muzik tradisi, tapai (arak beras) dihidangkan sebagai minuman istimewa. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'. Sepanjang perayaan ini diadakan, pertandingan Unduk Ngadau akan dijalankan di seluruh daerah di Sabah, dan para pemenang setiap daerah akan seterusnya bertanding di bahagian peringkat negeri. Acara ini merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh seluruh penduduk Sabah setiap tahun pada bulan Mei.

Antara makanan tradisi yang terkenal di kalangan kaum Kadazan-Dusun ialah Hinava, Noonsom, Pinaasakan, Bosou, Tuhau, Sup Kinoring Bakas (tidak halal) dan Sup Manuk Lihing. Makanan-makanan ini dapat disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi kaum Kadazan-Dusun. Seterusnya, tarian Sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang terkenal di seluruh Malaysia. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Juga melaluinya ibu-bapa/keluarga dapat menonton dan memilih bakal menantu yang berpotensi.

1.8 Sambutan Aidilfitri Tidak Dirasai

KUALA LUMPUR 13 Jun - Biar pun umat Islam kini sibuk melakukan persiapan Aidilfitri, namun bagi pengurusan pusat beli-belah utama di sekitar ibu negara, mereka didapati tidak pun ‘ghairah’ menghiaskan premis bagi menghidupkan suasana hari raya.
Malah tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka bukan sahaja bersikap ‘acuh tak acuh’, malah ada pusat beli-belah yang langsung tidak mempunyai sebarang hiasan dalaman yang menggambarkan umat Islam sedang berada dalam bulan Ramadan atau bakal me­nyambut hari raya tidak lama lagi.
Rata-rata orang ramai dalam tinjauan di pusat beli-belah utama di Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail yang ditemui melahirkan rasa terkilan terhadap tindakan pengurusan pusat beli-belah yang seolah-olah tidak peka dengan sensitiviti masyarakat selain memberi mesej salah kepada pelancong asing.
Peniaga, Siti Saimah Abdul Karim, 55 , memberitahu, perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana kebanyakan pengunjung yang datang ke premis berkenaan adalah beragama Islam.
“Kita tengok apabila perayaan Krismas atau Tahun Baharu Cina, pusat beli-belah terkenal di Bukit Bintang ini sebagai contoh meriah dengan tanglung, pokok Krismas tetapi Hari Raya Aidilfitri tiada hiasan langsung, hambar, saya terkilan,” katanya.
Menyuarakan pendapat yang sama, Aimi Mahfuzan Tambrin, 23, berkata, sebagai sebuah negara majmuk, pihak pengurusan premis perniagaan perlu bersikap adil dengan menonjolkan perayaan setiap kaum di negara ini.
“Perbezaan nampak ketara antara Aidilfitri dengan perayaan agama atau kaum lain sebelum ini, pihak premis seperti berat sebelah. Saya kesal dengan sikap pengusaha yang seolah-olah mewujudkan jurang perbezaan,” katanya.
Sementara itu, bagi K. Thilangan, 46 , beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan pengurusan pusat beli-belah terbabit dan sepatutnya sambutan yang dijalankan di setiap pasar raya perlu diseimbangkan antara semua perayaan.
“Kita hidup dalam kelompok masyarakat pelbagai agama. Sepatutnya pusat beli-belah yang menjadi tumpuan ramai setiap kali perayaan tidak boleh dilihat hanya melebihkan satu kaum sahaja,” ujarnya.

Bagi Kamarul Ibrahim, 32, beliau tidak menolak kemungkinan pusat beli-belah bertindak demikian kerana faktor ekonomi yang mana mereka mungkin melihat orang Melayu tidak mempunyai kuasa beli yang tinggi.

1.9 Perkukuh Perpaduan Sempena Hari Raya

Kedatangan Syawal sememangnya dinantikan dengan penuh sabar dan teruja oleh seluruh rakyat Malaysia. Hal ini kerana kebiasaannya masyarakat kita akan menyambut dan meraikan Aidilfitri dengan penuh meriah sebagai antara perayaan utama negara ini tanpa mengira agama dan bangsa.
Inilah keistimewaan rakyat negara ini yang walaupun berbeza agama dan bangsa tetapi hidup dalam sebuah masyarakat majmuk yang bersatu dan boleh merayakan perayaan kaum lain secara bersama. Hakikatnya, selama ini setiap perayaan utama setiap kaum di negara ini diraikan bersama seperti perayaan kebangsaan oleh seluruh negara. Ini ditambah pula de­ngan pelbagai keistimewaan yang disediakan seperti pemberian cuti umum, pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan serta budaya rumah terbuka di seluruh negara.
Senario ini mewarnai kalendar kehidupan setiap warga negara ini sejak kita merdeka lagi. Ia dibentuk, dipupuk dan dipateri kemas oleh generasi terdahulu yang mengetepikan dan mengorbankan segala kepentingan peribadi kaum masing-masing demi mencapai ke­­merdekaan serta dapat hidup aman dan damai sebagai satu ke­luarga yang besar. Ternyata semangat kebangsaan mereka me­ngatasi semangat individualistik dan sekali gus bersepakat membentuk sebuah negara majmuk yang berdiri gah di persada antarabangsa ­seperti yang ada pada hari ini.
Dalam hal ini kita tidak boleh menafikan peranan pelbagai pe­rayaan dan sambutan upacara rasmi negara seperti Hari Raya Aidilfitri ini yang telah dan juga sedang menjadi platform terbaik dalam menyuburkan semangat perpaduan dan kebangsaan dalam kalangan generasi dahulu hingga ke hari ini. Saban tahun perayaan seumpama ini terus menonjolkan dan mengeratkan silaturahim sesama kita. Ini boleh dilihat melalui budaya kunjung mengunjung yang biasanya dilakukan semasa rumah terbuka.
Kita boleh lihat dengan jelas orang India dan Cina mengunjungi rumah orang Melayu semasa Aidilfitri dan juga sebaliknya semasa sambutan Tahun Baharu Cina, Deepavali ataupun perayaan utama lain. Senario seumpama ini membuktikan betapa rakyat kita meraikan segala nikmat kehidupan bersosial masyarakat majmuk yang terdiri daripada penduduk berlainan budaya dan gaya hidup.
Justeru sebagai rakyat yang bertanggungjawab setiap seorang da­ripada kita wajib untuk memainkan peranan dalam mempertahankan apa yang dimiliki sekarang hingga ke akhir hayat kita. Ini kerana kita perlu sentiasa insaf dan sedar bahawa nikmat kemerdekaan, perpaduan, dan keamanan yang ada pada hari ini boleh lenyap mahupun diragut sekelip mata andai leka dan lalai.
Buktinya mutakhir ini kita lihat beberapa peristiwa yang berlaku dalam negara ini yang mula menyentuh sensitiviti sesuatu kaum. Misalnya, isu pencemaran masjid, pertikaian laungan azan dan bacaan al-Quran serta pertikaian terhadap hak keistimewaan sesuatu kaum terutamanya hak orang Melayu yang adalah penduduk majoriti negara ini. Ingatan kita juga masih segar dengan apa yang berlaku di Plaza Low Yat tempoh hari di mana urusan jual beli telefon boleh berakhir dengan pergaduhan dan apa yang paling dikesali adalah ini telah dijadikan sebagai isu perkauman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya keadaan menjadi huru-hara dan mencetuskan perbalahan serta pergaduhan antara segelintir orang Melayu dan juga orang Cina.
Insiden ini dengan jelas membuktikan betapa tahap perpaduan dalam kalangan masyarakat semakin hari semakin menipis. Sedikit provokasi sudah cukup untuk mencetuskan api perkauman. Apakah ini yang hendak kita banggakan dalam meniti pelbagai cabaran sepanjang 59 tahun lalu? Keadaan ini dengan jelas menunjukkan bahawa jambatan perpa­duan yang dibina selama ini tidak mustahil untuk mengalami keretakan malah keruntuhan sama sekali andai kita terlalu selesa dengan nikmat yang sedia ada tanpa ber­usaha menghayatinya dan mempertahankannya.
Kita perlu terima hakikat bahawa insiden-insiden yang telah mengambil tempat dewasa ini sedikit sebanyak mula menerbitkan rasa prasangka dan prejudis sesama rakyat kita. Masing-masing dilihat lebih berhati-hati dan mula was-was dalam perhubungan de­ngan orang lain. Walaupun situasi ini mungkin tidak terlalu kritikal namun jika terus dibiarkan begitu maka kita percaya akan menjadi barah dan duri dalam daging untuk menghancurkan apa yang ­telah kita bina sekian lama.
Selama ini kita berbangga de­ngan dunia luar bahawa kita boleh dijadikan sebagai negara contoh masyarakat majmuk. Itulah ke­istimewaan kita selama ini dan negara luar juga sering memuji negara kita dalam aspek tersebut. Namun kita perlu sedar bahawa tiada jaminan status ini akan kekal selamanya. Apakah kita mahu menghancurkannya?
Justeru tepuk dada dan tanyalah minda, hati dan perasaan masing-masing. Sudah semestinya setiap seorang daripada kita tidak mahu anak cucu kita kelak memaki hamun kita kerana mewariskan sebuah negara yang tidak stabil dan harmoni kepada mereka. Dalam hal ini, apakah kita lupa bahawa keamanan dan perpaduan yang kita nikmati ini adalah apa yang telah dipinjamkan kepada kita oleh generasi yang akan datang? Jangan sesekali kita mengkhianati amanah ini.

Justeru dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini marilah kita mengetepikan segala persengketaan, perselisihan faham dan ideologi politik seterusnya bermuhasabah diri dan insaf de­ngan pelbagai cabaran yang mula menggoncang perpaduan kaum di negara kita lantas berusaha untuk menepisnya dari akar umbi lagi sebelum ia merebak menjadi virus yang sukar diubati kelak. Teruskan budaya kunjung mengunjung dan gunakan peluang untuk bermaaf-maafan agar dapat melupakan segala salah dan silap dengan penuh ikhlas supaya tali silaturahim itu dapat terus diperkukuhkan.

1.10 Peranan Pelajar dalam Memupuk Semangat Perpaduan Kaum Semasa Perayaan Di Malaysia

Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara berbilang kaum.  Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan asas pembentukan sebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembentung, bulan manusia kerana muafakat.  Remaja, sebagai pewaris negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Mereka hendaklah memikul tanggungjawab besar ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Malaysia sangat unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.Contohnya, kaum Melayu, Cina, dan India merupakan tiga kaum yang dominan di negara ini.  Selain itu, rakyat negara ini juga terdiri daripada etnik peribumi yang tidak kurang pentingnya seperti Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asli, Penan, dan termasuk juga golongan minoriti seperti Portugis, Siam, dan seumpananya.  Remaja mestilah sanggup untuk menerima dan mengamalkan budaya yang sesuai dengan kehidupan.  Misalnya daripada perayaan, rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan yang tersendiri. Untuk merasai kemeriahannya, remaja mestilah turut merayakan perayaan-perayaan yang disambut oleh rakan mereka dengan hati yang ikhlas, bak kata pepatah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Jelaslah, asimilasi budaya dapat mewujudkan semangat perpaduan yang ampuh dalam kalangan remaja di negara ini. Remaja mestilah mengasimilasikan budaya pelbagai kaum dalam kehidupan seharian.
Selain itu peranan yang perlu dipegang oleh remaja ialah mereka sendiri menjadi suri teladan kepada rakan-rakan sebaya.  Dalam hubungan ini setiap remaja mestilah mengamalkan dan menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan rakan sebaya.  Remaja mesti menunjukkan sikap saling menghormati rakan-rakan yang berbeza latar belakang budaya dan agama.  Contohnya, remaja perlu menghormati amalan dan anutan agama rakan-rakan. Di samping itu remaja perlu mengelakkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang sensitif dan dapat menaikkan kemarahan rakan-rakan dari bangsa dan agama yang lain.  Setiap perselisihan pendapat hendaklah diatasi secara bijaksana dan berhemah, bak kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak.  Oleh yang demikian, remaja perlu menjadi suri teladan untuk memupuk semangat perpaduan.

1.11 Kesimpulan


Kesimpulannya, remaja bertanggungjawab untuk memainkan peranan penting ke arah pemupukan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.  Semua pihak hendaklah bersinergi umpama aur dengan tebing untuk merealisasikan wawasan dan gagasan besar negara.  Kita tidak mahu generasi mudah hari ini mengabaikan peranan mereka  untuk memupuk perpaduan dan menghancurkan negara yang bakal diwarisi kelak.  Iltizam dan kesungguhan remaja dalam memupuk semangat perpaduan adalah dituntut demi mewujudkan semua negara yang bersatu padu, aman, maju, dan berdaya saing di peringkat global.  Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


1.12 Rujukan



 http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sambutan-aidilfitri-tidak-dirasai-1.342211#sthash.8i8yqUph.dpuf